Sunday, May 20, 2012

SENYUMLAH - SYED ALWI ALATAS

Review by: Mina

Assalamualaikum WBT

Mengapa harus membenci masalah dan kesusahan, sedangkan ia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan?. Mengapa harus berputus asa saat mengalami kesusahan hidup, sedangkan kemudahan yang Allah SWT janjikan sebagai jalan keluarnya lebih banyak?. Mengapa harus berkeluh-kesah, sedangkan apa pun masalah yang datang, ia akan berlalu jua akhirnya?.

Buku ini disusun untuk membantu para pembaca menghadapi masalah dalam hidup. Manusia selalu menghadapi masalah dan persoalan dalam hidupnya, tetapi tidak semua orang memahami bagaimana seharusnya mereka bersikap terhadap masalah yang dihadapi oleh mereka itu. Ada orang yang sangat membenci masalah dan berusaha lari daripadanya. Ada juga yang berputus asa kerananya. Semua itu justeru membuat keadaan mereka menjadi semakin buruk dan menderita.

Ada orang yang nekad untuk membunuh diri saat menghadapi masalah. Contohnya mereka yang bergelut dengan hutang piutang yang besar. Ada pula yang ingin membunuh diri kerana putus asa dan gagal dalam persoalan cinta. Mereka nekad untuk mengakhiri hidup dengan cara memotong urat nadinya. Bahkan ada yang ingin membunuh diri dengan cara melompat atau terjun dari bangunan yang sangat tinggi.

Persoalannya, mengapa manusia yang dianugerahi akal fikiran yang sihat sanggup berbuat begitu?. Alasannya hanya kerana mereka tidak sanggup menanggung semua masalah, kesedihan dan keputusasaan yang membelenggu diri dan emosi mereka. Adakah dengan membunuh diri, mereka dapat menyelesaikan masalah?. Bukankah dengan membunuh diri akan membawa pada persoalan yang lebih serius di dalam kubur nanti?.

Ketika menghadapi berbagai persoalan dan dugaan yang lebih ringan dalam hidup, kebanyakan manusia memang tidak sampai berputus asa. Tetapi tidak sedikit daripada mereka yang mengeluh dan kehilangan 'mood' kerananya. Padahal itu hanya akan menjadikan permasalahan yang dihadapi mereka menjadi semakin rumit. Kemungkinan rasa sedih itu akan menyebabkan mereka ditimpa stress yang akan mengundang pelbagai penyakit tanpa diduga. Dari mendapat satu masalah, akan ditimpa dengan masalah yang baru iaitu serangan penyakit dan kemurungan.


Buku ini ditulis untuk membantu pembaca dalam melihat masalah dengan cara pandang yang baru. Dengan membaca buku ini, mudah-mudahan pembaca akan menjadi lebih bahagia dan tidak mengeluh atau berputus asa saat menghadapi masalah. Bukan hanya tidak mengeluh, malah boleh jadi saat menghadapi masalah itu, pembaca justeru boleh tersenyum. Kerana pembaca sudah mengetahui rahsia disebalik kesusahan hidup dan juga mengetahui bagaimana cara untuk menghadapi semua itu.

Setiap masalah dalam hidup ini pasti ada jalan penyelesaiannya. InsyaAllah, segala masalah yang kita hadapi pasti akan berlalu mengikut beredarnya masa. Walaubagaimana banyak masalah seseorang, hidup perlu diteruskan dan hadapi setiap dugaan itu dengan sabar. Semua orang membenci masalah tetapi masalah datang tanpa memilih tuan. Semakin banyak seseorang diuji dengan masalah, maka semakin banyak pengalaman yang dapat ditimbanya. Masalah akan menjadi masalah jika kita meletakkan diminda bahawa ia adalah masalah. Oleh itu, segala perkara yang kita benci dan yang memberi tekanan kepada kita akan dengan sendirinya akal melabelkan ianya sebagai masalah. Cuba kita setkan pada sesuatu tekanan atau perkara yang kita benci itu sebagai dugaan, ujian, peluang dan hikmah, sudah tentu hidup kita akan lebih bersemangat dan tidak murung.

Saya sarankan kepada sesiapa yang masih tercari-cari cara untuk merungkaikan masalah yang sedang membelit diri untuk membaca buku ini kerana kupasan penulis tentang bagaimana untuk menghadapi masalah dan mengenal pasti jenis masalah sangat terperinci dan mendalam. Mungkin anda akan tersenyum semasa sedang membaca buku dan perasaan sedih akan hilang bertukar dengan perasaan gembira. Penulis mengajak pembaca untuk memahami rahsia permasalahan hidup dan mengetahui bagaimana cara untuk mengatasinya dengan baik.

Buku ini ditulis dengan bahasa yang sederhana dan mudah difahami dan disokong pula oleh banyak kisah serta gambar rajah yang akan memudahkan pembaca untuk memahami isinya. Selesai membacanya, mudah-mudahan pandangan pembaca terhadap masalah dan kesusahan hidup berubah sepenuhnya. InsyaAllah, dada akan menjadi lapang, beban terasa ringan, bibir lebih mudah tersenyum dan sentiasa berani menghadapi hidup dengan senyuman. Wallahualam.


ADAKALANYA BUKU BISA MENJADI PENAWAR KEPADA HATI YANG SEDANG BERDUKACITA.

http://jomsewabuku.blogspot.com/2012/04/senyumlah-syed-alwi-alatas.html