Monday, June 13, 2011

Senyumlah


Alhamdulillah dalam tempoh beberapa hari ini saya selesai menamatkan bacaan Senyumlah Apappun Masalahmu Ia Pasti Akan Berlalu tulisan Tuan Syed Alwi Al Atas.

Maklumat ringkas buku:

Penulis:Syed Alwi Al Atas
Penerbit:GAleri Ilmu Sdn Bhd
Cetakan Pertama:2011
Genre:Motivasi(psikologi) dan 'Self-realization'(psikologi)
Harga:Semenanjung Malaysia:RM21.00
Sabah/Sarawak:RM 23.00
Tebal:300 muka surat.

Buku ini merupakan sebuah buku yang membincangkan persoalan masalah.Ia tidak mengajak pembaca bertindak lari daripada masalah ataupun terlalu memikirkan masalah,apatah lagi mencari masalah, bahkan ia menjemput pembaca supaya melihat setiap masalah yang dihadapi dengan cara pandang yang baru atau dari persepsi yang positif.

Buku ini dibahagikan kepada enam bab tidak termasuk pendahuluan dan penutupnya.Seperti buku karangan penulis terdahulu iaitu Bila Allah Menduga Kita,buku ini turut diselang-selikan dengan kisah benar berkaitan topik yang dibincangkan.Penulis juga meletakkan ayat al Qur'an serta hadith yang bersesuaian dengan pengkisahan serta puisi yang bersesuaian dalam buku ini.Selain memasukkan pengalaman sebilangan orang yang pernah berdepan dengan masalah- masalah besar dalam hidup mereka,penulis turut tidak lokek berkongsi pengalamannya sendiri.Ini bersesuaian dengan perbidalan yang menyatakan pengalaman adalah guru yang terbaik.

Pada bab pertama buku ini menghuraikan bagaimana cara kita melihat masalah.Bab ini menghuraikan cara untuk mengenalpasti masalah.Ia menjelaskan kepada kita kebiasaannya apabila dilanda masalah emosi seperti marah,sedih kecewa,tekanan dan sebagainya akan muncul secara spontan.Kita perlu bijak mengawal emosi kerana emosi yang berlebihan boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan.Kita perlu memahami bahawa masalah dan ujian hidup sama seperti nikmat dan kesenangan iaiatu sebahagian daripada ketetapan Allah yang sering mendatangi kita.Lantas kita sepatutnya berusaha agar berjaya mengawal emosi dengan baik samada masalah itu berpunca kehilangan tahap peribadi, hubungan mahupun impian.Pendek kata, jangan terlalu bersedih atas faktor kehilangan yang bersifat material dan fizikal tapi khuatirlah jika yang hilang itu adalah iman dan kekuatan rohaniah.

Bab yang kedua pula berkongsi dengan kita betapa Yang Lebih Penting Adalah Tindak Balas Kita.Apapun masalah yang kita hadapi dalam melalui hidup ini tidak sepenting bagaimana tindak balas kita terhadap masalah tersebut.Ini menekankan bagaimana masalah sebenarnya bersifat relatif.Relatif di sini merujuk kepada bagaimana cara kita memandang dan bertindak balas ke atasnya.Walaupun sesetengah buku psikologi menyatakan masalah bersifat neutral atau sebahagian yang lain menyebut masalah bersifat negatif,namun penulis menerangkan masalah bersifat relatif.Dua orang yang menghadapi masalah yang serupa mungkin memandang masalah tersebut dengan dua cara yang berbeza.Walaupun kebanyakan masalah yang kita hadapai sehari-hari mempengaruhi hidup kita,tetapi tindak balas kita terhadap masalah itu jauh lebih banyak menentukan keadaannya samada baik atau sebaliknya.Oleh itu kita sangat memerlukan kekuatan spiritual dengan mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih positif.

Bab ketiga merujuk kepada Mengambil Manfaat daripada Permasalahan Hidup. Bab ini menerangkan betapa masalah mempunyai banyak manfaat.Sebenarnya masalah sangat diperlukan dalam hidup ini(TIDAK TERMASUK MASALAH YANG DICARI).Masalah dapat menjadikan kita insan yang lebih bersungguh-sungguh,lebih kuat,lebih banyak belajar,lebih tekun,lebih menghargai kesenangan,boleh berempati terhadap orang lain yang sakit atau kekurangan,boleh menjadi penghapus dosa,boleh menjadi sedekah, boleh mendekatkan diri lebih lagi terhadap Allah.Membaca pengalaman penulis yang melalui pelbagai kesusahan dalam menghasilkan buku Bila Allah Menduga Kita yang beberapa kali sebelumnya ditolak memberi satu keinsafan yang besar.Pelbagai rintangan yang dilalui penulis sebelum buku tersebut akhirnya menjadi Best Seller book di rangkaian kedai buku MPH dan Popular.Sehingga kini, buku tersebut sudah diulang cetak beberapa kalih dan saya sendiri dapat melihat dengan jelas ia masih menjadi buku pilihan di MPH dan Popular.Apa akan jadi kalau penulisnya berputus asa?Mungkin kita sendiri tidak dapat membaca buku tersebut apatah lagi untuk mengambil pengajaran daripadanya dan mustahil juga jika penulis tidak bersungguh-sungguh menjadikan buku tersebut menarik perhatian pengunjung toko-toko buku dalam keadaan ratusan buku yang dicetak setiap tahun.

Bab Empat menghuraikan soal Ubat Paling Mujarab.Sungguh!Ubat yang paling mujarab untuk semua masalah dan ujian yang kita lalui adalah kesabaran.Walaupun kebanyakan manusia akan cenderung untuk mengeluh dan berputus asa,namun kedua-dua sikap itu tidak mampu mengubah atau membantu sama sekali bahkan mungkin kekusutan yang kecil menjadi semakin besar.Dalam menghadapi musibah atau masalah, kita dianjurkan supaya bersangka baik dengan Allah dan bersabar.Itulah cara bagi mengatasinya.Biarpun sesetengah orang berpandangan bahawa sifat sabar adalah pasif dan menunjukkan ketidakupayaan, hakikatnya ia adalah satu kekuatan yang aktif dan mampu meneutralkan musibah serta meraih apa yang diinginkan.Ringkasnya,orang yang sabar memiliki kecerdasan emosi yang sangat tinggi dan kesabarannya itulah kekuatan yang tidak semua orang dapat memilikinya.

Bab lima pula menyebut Kita memang Sering Menemui Masalah.Dalam bab ini kesabaran masih menjadi topik penting.Kita disarankan supaya bersabar dalam menghadapi keadaan tidak menyenangkan yang sudah terjadi dalam masa yang sama kita perlu sabar dalam mencapai keadaan yang dicita-citakan.Setiap masalah yang kita hadapi perlu diselesaikan dengan sabar agar tidak berkembang menjadi sesuatu yang lebih buruk.Biarkan yang telah berlalu dan fokuskan perhatian pada yang ada di hadapan kerana kita tidak dapat mengubah apa-apa yang sudah terjadi.Yang dapat kita lakukan adalah bersabar dan menerima seadanya tanpa keluhan.

Pada bab akhir iaitu bab Enam:Allah Lebih Mengetahui mengajak kita sama-sama mengatasi masalah hidup dengan usaha dan doa.Ini merupakan cara yang sangat efektif untuk menghadapi permasalahan dan untuk mencapai suatu tujuan.Apapun usaha dan doa memerlukan kesabaran.Apapun yang kita lalui dlaam hidp ini Allah lebih Mengetahui.Siapa kita untuk mempersoalkannya?Marah- marah jika melalui ujian samalah seperti menyalahkan Tuhan.Na'uzubillah min Zalik.

Akhir sekali pada bahagian penutupnya penulis menekankan bahawa masalah dan ujian,tidaklah seburuk yaang disangka selama ini.Cara kita memandang masalah itu dan apakah tindakan kita dalam mencari solusinya lebih utama.Usaha kita dalam melalui ujian dan musibah adalah dengan sentiasa berdoa dan berusaha.Pandanglah masalah dari satu sisi yang terlindung,insyaAllah keluh-kesah tidak akan muncul.Belon emosi dapat dikempiskan dengan baik dan masalah tersebut sesekali penting untuk kita lebih menghargai makanan yang enak saat kita terpaksa menjamu kentang rebus sahaja.Pada masa yang sama kita tidak boleh menyebut masalah adalah sesuatu yang neutral kerana itu tidak adil bagi orang yang sedang melalui masalah itu,tetapi kita boleh sifatkan masalah sebagai relatif atau subjektif kerana masalah perlu dibezakan atas pandang sisi orang yang menghadapinya.Apapun yang berlaku,Senyumlah...apapun masalahmu ia pasti akan berlalu.

Cadangan:
Buku ini juga sangat sesuai dijadikan hadiah buat teman-teman.Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan umum terutama di kalangan pelajar dan pesakit.Saya juga berharap pihak penulis atau penerbit memperbanyakkan genre sebegini dan dijadikan hadiah atau bacaan umum di wad-wad pesakit.Pada pengalaman saya ketika terlantar di rumah sakit, kebanyakan buku dan majalah yang saya lihat didermakan atau disediakan adalah inisiatif petugas hospital dan kebanyakannya bersifat hiburan dan kurang bermanfaat.Pada hemat saya,buku motivasi sebegini pun sesuai dihadiahkan di pusat-pusat perubatan mahupun hospital terutama bagi mereka yang perlu melalui tempoh yang lama di hospital.Ini bukan sekadar dapat memenuhi masa senggang mereka dengan lebih baik,bahkan dapat memberi semangat dan motivasi pada mereka.Terima kasih buat penulis buku ini dan semua krew penerbitan.Allah sahaja yang selayaknya membalas budi baik kalian mengusahakan buku bernilai seperti ini.


Kalam Hati,
Rashidah Razak
Bandar Seri Putra.

http://ulasanbukusrar.blogspot.com/2011/06/senyumlah.html?spref=fb

2 comments:

  1. Boleh, insya Allah. Try http://www.galeriilmu.com.my/index7.php?PageSelId=27. Maaf lambat balas, tak nampak ada comment.

    ReplyDelete