Monday, September 10, 2012

KESENANGAN vs KESUSAHAN

assalamualaikum wbt....

Siapa yang tidak pernah menghadapi kesusahan?? Bohonglah sekiranya anda tidak pernah menghadapi kesusahan, setiap orang yang lahir ke bumi ini akan menghadapi kesusahan, sama ada kesusahan dari segi fizikal, emosi, persekitaran dan sebagainya.

Sebenarnya setiap kesusahan ada kesenangan, Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni juga ada berkata “setiap kesulitan pasti ada kemudahan” di dalam buku “la tahzan”,karya best seller beliau, saya pasti ramai yang sudah mengkhatamnya. Dalam kesusahan yang kita hadapi membuatkan kita matang dalam melaksanakan sesuatu, malah dengan adanya kesusahan kita dapat pelajari dari pengalaman. Setiap orang yang pernah mengalami kesusahan tidak akan mahu mengalaminya untuk kali yang kedua, oleh itu, pengalaman seseorang akan mengingatkan dia agar berhati-hati dalam membuat sesuatu perkara.

Sebelum kita menghadapi kesenangan kita harus tempuh kesusahan, dalam waktu yang sama kita juga harus berfikiran positif terhadap apa jua masalah yang kita hadapi ketika itu. Seandainya seseorang yang menghadapi kesusahan atau kesulitan dan tidak bersikap optimis akan mengambil jalan singkat yang boleh menggandakan masalah yang dimiliki sebelumnya. Oleh itu,pentingnya kita untuk berfikiran positif dalam menghadapi kesusahan.

Dalam buku “senyumlah”, karya Syed Alwi AlAtas ada menerangkan tentang kebaikan yang perlu diambil dalam menghadapi apa jua masalah hidup, antaranya masalah atau kesusahan dapat menjadikan manusia kuat dan cekap, masalah membantu kita belajar, masalah menjadikan kita lebih bersungguh-sungguh, masalah dapat membuatkan fikiran kita lebih tajam dan sebagainya.(huraiannya boleh dilihat dalam buku tersebut,pada halaman 98 bab 3)

Kehidupan tanpa kesusahan tidak akan ada cabarannya,seperti peribahasa Afrika “smooth seas do not make skillful sailors”, kita memerlukan cabaran dalam kehidupan barulah hidup kita akan lebih bererti kerana semakin banyak cabaran atau masalah yang kita hadapi maka lebih kuat pertahanan diri yang kita miliki.

Apabila kita sering menempuh kesusahan, kita akan berasa betapa nikmatnya kesenangan yang bakal di peroleh di akhirnya nanti. Saya juga banyak belajar dan banyak mengutip ilmu dari buku-buku yang saya baca, bahawa kesusahan yang kita tempuhi akan lebih nikmatnya di akhirnya nanti. Saya juga salah seorang yang tidak tahan atau tidak “betah” dalam menghadapi kesusahan, adakalanya saya akan merungut dan mengeluh tapi saya berbalik pada fitrah bahawa kita adalah hamba dan kita layak untuk diuji oleh-NYA, Allah memberi kita akal dan fikiran untuk kita berfikir, jadi gunakan sebaik-baiknya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Saya pernah membaca salah satu tulisan bahawa “kesenangan dan kebahagian hanya akan diperoleh di syurga”.

Konklusinya, dalam setiap masalah yang kita hadapi akan berakhir dengan kesenangan yang banyak. Seperti kata-kata seorang sahabat kepada saya “biar susah perit itu banyak,kerana nikmat yang sedikit itu beri kepuasan yang banyak”. Saya mengakuinya dan memahaminya saat saya menghadapinya.

Moga saya dan anda sama-sama menghadapi kesusahan dengan berfikiran optimis dan yakin dengan apa yang Allah beri kepada kita. insyaAllah. Andai ada salah silap dalam penulisan saya kali ini saya memohon sejuta kemaafan, saya berharap agar anda dapat menegur kesilapan saya, moga ia akan menjadi lebih berharga pabila ilmu yang kita miliki ini kita kongsi bersama, bak kata pepatah Inggeris “sharing is caring”. J Assalamualaikum wbt.


*ilham tulisan diatas saya peroleh dari bacaan saya dari buku-buku seperti ‘seyumlah’ dan ‘la tahzan’ serta dari pengalaman saya sendiri, moga ia membawa manfaat kepada kita semua,insyaAllah!*


~Imanurain-7:53am,200512~

http://imanurain.blogspot.com/2012/05/kesenangan-vs-kesusahan.html

No comments:

Post a Comment